KUCHING: Generasi muda kini bukan sekadar pemerhati tetapi turut terlibat dalam pembangunan Sarawak.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, golongan itu berperanan sebagai penyumbang idea, pelaksana serta pewaris kepada pelbagai inisiatif negeri yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak.
“Perkara ini penting kerana belia merupakan penyumbang dan juga pewaris.
“Mereka menyumbang kepada polisi yang dibentuk bagi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 serta dasar-dasar Kerajaan Sarawak menuju 2030,”katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan projek SUARA 2.0 di sini, pada Rabu.
Beliau turut menegaskan bahawa perancangan negeri dirancang dan dilaksanakan secara terperinci bagi memastikan belia berada pada landasan yang betul untuk meneruskan legasi pemimpin terdahulu.
“Kita memiliki kemahiran dan pengetahuan, belia kita bukan calang-calang kerana mereka mempunyai kepakaran, dan saya yakin dengan keupayaan serta kepakaran yang dimiliki oleh belia-belia Sarawak,”tambahnya.
Jelasnya, SUARA 2.0 merupakan platform penting untuk memperkasa pemahaman belia mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), PCDS 2030 serta memberi pendedahan kepada belia mengenai hala tuju strategik negeri.
Projek SUARA 2.0 yang berlangsung dari 7 hingga 10 Disember itu membuktikan belia Sarawak merupakan pemacu penting kepada pembentukan dasar negeri menjelang 2030.
Program anjuran Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) tersebut telah menghimpunkan seramai 60 belia dari seluruh Sarawak melibatkan wakil institusi pengajian tinggi awam dan swasta.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Betrice Britney Dee & Douglas