Sarawak Terus Komited Sokong Pembangunan Komuniti Kristian
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menzahirkan komitmen tinggi terhadap prinsip keterangkuman dan keharmonian antara agama dengan menyalurkan sokongan berterusan kepada pembangunan komuniti Kristian serta rumah-rumah ibadat di seluruh negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, kerajaan negeri secara konsisten menyokong pembangunan semua rumah ibadat kerana mengiktiraf peranannya sebagai nadi komuniti yang memupuk kesejahteraan sosial, perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang agama di Sarawak.
“Rumah ibadat bukan sekadar bangunan, tetapi pusat pembinaan nilai, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat. Inilah kekuatan Sarawak yang sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Hari Krismas di sini, pada Rabu.
Datuk Amar Dr Sim turut memaklumkan bahawa komuniti Kristian merupakan kumpulan agama terbesar di Sarawak dengan lebih 1.2 juta penganut serta lebih 2,300 rumah ibadat merangkumi pelbagai denominasi, sekali gus mencerminkan kepelbagaian yang menjadi asas kekuatan negeri ini.
Beliau berkata, dari 2017 hingga 2025, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan ratusan juta ringgit melalui dana berkaitan termasuk UNIFOR untuk menyokong projek keagamaan, dengan komuniti Kristian menerima manfaat besar menerusi ribuan projek penambahbaikan.
Dalam pada itu, Datuk Amar Dr Sim turut menekankan sumbangan besar gereja dan mubaligh Kristian dalam pembangunan pendidikan Sarawak, khususnya melalui penubuhan sekolah-sekolah mubaligh yang telah melahirkan ramai pemimpin, profesional dan tokoh masyarakat.
“Sekolah-sekolah mubaligh bukan sahaja membina ilmu, tetapi membentuk disiplin, nilai kemanusiaan dan kepimpinan. Malah, majoriti pemimpin Sarawak hari ini adalah hasil daripada sistem pendidikan ini,” jelasnya.
Beliau menambah, dari 2021 hingga 2025 sahaja, sebanyak 129 sekolah mubaligh telah menerima bantuan kerajaan negeri melibatkan peruntukan RM19 juta untuk melaksanakan lebih 650 projek penambahbaikan prasarana.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir, isteri Timbalan Premier Sarawak, Datin Amar Enn Ong Seok Ean, Pengarah UNIFOR Datu Georgina Apphia Ngau, Pengerusi Association of Churches in Sarawak Bishop Donald Jute serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS