Kilat Boy Julang IBA Intercontinental Super Bantamweight, Tutup Tirai 2025 Dengan Gemilang
KUCHING: Petinju Sarawak, Daeloniel “Kilat Boy” Mcdelon Bong menutup tirai 2025 dengan pencapaian gemilang selepas memenangi gelaran IBA Intercontinental Super Bantamweight.
Beliau menewaskan juara kebangsaan India, Kuldeep Tarkar, menerusi 'Total Knockout (TKO)', dengan pertarungan dihentikan pada pusingan ke-8 dalam acara Warzone World Championship pada 7 Disember lepas.
Ketika ditemui pemberita selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Rabu, Kilat Boy merasa amat bangga selepas memenangi gelaran yang beliau sasarkan sepanjang tahun ini.
"Sejak awal tahun kita sudah bercakap tentang IBA, dan Alhamdulillah penutup tahun 2025 kita berjaya meraih gelaran tersebut," katanya.
Jelasnya, persiapan sepanjang tahun dengan menyertai empat perlawanan sebelum ini juga menunjukkan hasil yang tidak sia-sia untuk menaikkan 'ranking' termasuk mendapat gelaran WBC Asia Continental pada 30 Ogos lepas.
Ini ditambah dengan Kilat Boy turut menyertai Twins Championship 103 di Sri Aman di mana jarak masa untuk ke IBA hanya tiga minggu namun perlawanan di pertandingan tersebut memberi keyakinan beraksi lebih cemerlang di IBA.
Menutup tirai dengan penuh bergaya untuk tahun ini, Daeloniel kini merangka pencapaian yang lebih besar pada tahun 2026 dengan menyasarkan untuk membuka pembangunan akademi atau gim tersendiri serta meraih gelaran tinju bertaraf dunia.
"Kami juga akan fokus pada sasaran seterusnya yang lebih besar, mungkin ke arah kejuaraan dunia seperti World Championship atau WBC Gold.
"Perancangan sedang dibuat ke arah itu dan sepanjang tempoh rehat ini kami akan menyiapkan gim atau akademi tersebut," ujarnya.
Beliau menyasarkan untuk kembali ke gelanggang selepas sambutan Hari Raya tahun hadapan di mana pihak pengurusannya akan mengumumkan tarikh perlawanan kelak.
"Saya sendiri akan kembali ke kem latihan asal, kembali kepada asas, dan fokus pada pemulihan badan kerana lima perlawanan dalam tahun 2025 agak banyak dan kita mahu menjaga tubuh untuk jangka panjang," jelasnya lagi.
Ini termasuk pembangunan akademi atau gim 'Kilat Boy' yang akan diumumkan pada awal tahun ini.
Untuk rekod, Daeloniel kini berada di kedudukan nombor 150 dunia, nombor lapan di Asia dan nombor satu di Malaysia mengikut BoxRex untuk kategori berat Super Bantam.
Selepas menjuarai IBA Intercontinental, ranking baharunya dijangka dikemas kini dalam tempoh seminggu. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Jurugambar: Ahmad Daniel Faiz