MRP RM72,500 Perkasa Pembangunan 26 Pertubuhan & Komuniti DUN Pujut
MIRI: Usaha memperkukuh pembangunan komuniti setempat terus diperkasa apabila sebanyak RM72,500 peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada 26 pertubuhan, persatuan, institusi pendidikan dan komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut.
Majlis penyampaian geran MRP tersebut disempurnakan oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang di Pusat Khidmat Rakyat Pujut, pada Rabu.
Pada majlis yang sama, Adam Yii menekankan fungsi dan peranan Pusat Khidmat Rakyat sebagai platform penyampaian bantuan kepada penduduk setempat, selain memperincikan pelaksanaan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang menjadi salah satu instrumen penting pembangunan komuniti.
Menurutnya, setiap ADUN GPS menerima peruntukan tahunan RM5 juta untuk pelaksanaan projek RTP seperti penambahan lampu jalan, pembinaan taman mini, penaiktarafan kemudahan sekolah serta pembangunan fasiliti komuniti.
Ujarnya, bagi tahun hadapan, 30 projek dirancang dengan pecahan peruntukan antaranya RM1.1 juta bagi sekolah, RM1.5 juta taman rekreasi, RM400,000 rumah ibadat, RM1.35 juta bagi komuniti dan RM600,000 untuk lampu jalan
Selain itu, beliau turut menggalakkan penduduk mengemukakan cadangan projek agar dapat dinilai untuk dimasukkan dalam senarai RTP bagi kawasan Pujut.
Antara penerima bantuan termasuk Persatuan Penganut Agama Buddha Kuan Tzu Tsal Chiang T’ang Miri, Thai Poo Community Association Miri, PIBG SK Miri, Persatuan Muaythai Bahagian Miri, JKKK Kampung Pujut Adong, Curtin Arts Dance Club (CADC), JCI Riam, Persatuan Perkhidmatan Keupayaan Miri, Miri Mandarin Toastmaster Club, Kelab Rekreasi Peminat Permainan Minda Miri, KESKEB Institut Kemahiran Belia Negara Miri, GYX Motorsports Club dan beberapa persatuan lain.-EDISI UKAS