Sarawak Berpotensi Tarik Pelaburan Mencecah RM20 Bilion Dalam 10 Tahun
NANJING: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju ekonomi hijau di rantau ASEAN apabila unjuran potensi pelaburan mencecah USD7 bilion atau kira-kira RM20 bilion dijangka mengalir masuk ke negeri itu dalam tempoh 10 tahun akan datang hasil kerjasama strategik dengan pemain industri antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, potensi pelaburan berkenaan dipacu melalui pemeteraian tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), China Jiangsu International Economic Technology Cooperation Group Ltd. (CJI) serta tujuh syarikat utama dari China yang menyatakan komitmen untuk turut serta dalam pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH).
Menurut beliau, minat yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat ini membuktikan keyakinan terhadap potensi KLCH sebagai hab perindustrian rendah karbon yang dihubungkan secara global.
"Hari ini juga, tujuh MoU telah ditandatangani antara pelbagai syarikat dalam sektor ekonomi hijau. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, ia diunjurkan membawa potensi pelaburan bernilai USD7 bilion bersamaan kira-kira RM20 bilion.
"Pelaburan sebesar ini akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu, khususnya pekerjaan berkemahiran tinggi, selaras dengan usaha kita meningkatkan pendapatan isi rumah," katanya.
Beliau berkata dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Framework Agreement di antara PETROS dengan CJI sebelum menyaksikan pemeteraian tujuh MoU di antara PETROS, CJI serta tujuh syarikat pelaburan dari China di Ibu Pejabat CJI pada Khamis.
Premier Sarawak menambah, selain itu suntikan pelaburan USD7 bilion ke dalam ekonomi negeri akan turut meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak dengan sasaran KDNK berjumlah RM282 bilion menjelang 2030.
"Dengan pelaburan ini, ditambah pelaburan-pelaburan lain yang sedang dan bakal memasuki Sarawak, saya yakin kita boleh mencapai sasaran tersebut," jelasnya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menjelaskan bahawa terdapat juga kerjasama penting antara PETROS dan CJI dalam aspek pembangunan modal insan.
Katanya, kerjasama ini merangkumi pemindahan pengetahuan, latihan teknikal serta pembangunan bakat tempatan melalui program latihan industri dan usaha sama pendidikan.
"Kita tahu wilayah Jiangsu mempunyai kepelbagaian kepakaran teknikal yang sangat tinggi.
"Inilah ruang untuk kita bekerjasama dalam bidang pendidikan. Sebagai contoh, kita kini menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar-pelajar Sarawak.
"Mungkin pada tahun ketiga pengajian, mereka boleh dihantar ke sini sebagai pelatih industri. Apabila industri-industri ini beroperasi di Sarawak kelak, mereka akan menyerap pelajar ini sebagai tenaga kerja teknikal. Ini membawa banyak manfaat kepada Sarawak," katanya lagi.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo, Pengerusi CJI Song Qinbo, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS Dato Janin Girie dan Presiden CJI, Zhu Xingbao. -EDISI UKAS