KUCHING: Delegasi daripada Denmark meluahkan kekaguman terhadap pencapaian pesat institusi Ombudsman Sarawak serta usaha berterusan negeri ini dalam memperkukuh sistem tadbir urus dan integriti.
Ombudsman Parlimen Denmark, Christian Britten Lundblad berkata, walaupun institusi ini masih baharu berbanding Ombudsman Denmark yang berusia 70 tahun, pencapaian dalam tempoh singkat amat mengagumkan.
“Kami mempunyai institusi yang berusia 70 tahun, tetapi mereka sedang bergerak pantas ke hadapan di sini.
“Saya sentiasa terinspirasi dengan kerjasama ini dan pandangan yang dikongsi. Walaupun datang daripada perspektif berbeza, masalah yang dihadapi sebenarnya sangat serupa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat kepada Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali di Wisma Bapa Malaysia, pada Khamis.
Turut hadir ialah Duta Besar Denmark ke Malaysia H.E Kirstine Vangkilde Berner.
Menurut Christian, kunjungan hormat berkenaan adalah bagi memperdalam kerjasama dan memahami secara langsung bagaimana institusi Ombudsman di Sarawak beroperasi.
Beliau menjelaskan, dalam pertemuan tersebut, mereka membincangkan bagaimana institusi Ombudsman berfungsi, alat dan kaedah penyiasatan yang digunakan.
Hadir sama dalam kunjungan hormat ini ialah Timbalan Peguam Besar Sarawak Datu John Wayne Chamberlin Sirau, Pengarah Hubungan Antarabangsa Klavs Duus Kinnerup Hede, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Diraja Denmark Merve Imren Yalcin.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Muhammad Rais Sanusi