SK Sungai Apin Terima Dana RM150,000 Untuk Laksanakan Projek Naik Taraf Kemudahan Sukan
SIMUNJAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Apin menerima peruntukan sebanyak RM150,000 bagi melaksanakan projek naik taraf kemudahan sukan sekolah berkenaan.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, berkata projek tersebut telah bermula pada bulan lepas dan kini sedang giat dilaksanakan.
Katanya, skop kerja melibatkan pembinaan tembok, pemasangan saliran pembentung serta penanaman rumput bagi memastikan padang yang lebih selesa, selamat dan memenuhi keperluan aktiviti sukan.
“Kemudahan ini penting untuk menggalakkan gaya hidup sihat, menyediakan ruang riadah berkualiti serta membuka peluang kepada murid untuk mengembangkan bakat sukan secara lebih teratur dan berdisiplin,” katanya semasa berucap dalam Program Koperasi Prihatin Bersama Pelajar di sini, pada Khamis.
Beliau menegaskan bahawa peningkatan kemudahan sedemikian amat diperlukan khususnya di kawasan luar bandar, selain menjadi sokongan penting kepada pembangunan sahsiah dan kecerdasan fizikal murid.
Dalam masa yang sama, Rodiyah turut memaklumkan bahawa SK Sungai Apin telah disahkan berada dalam senarai sekolah daif sejak Rancangan Malaysia Ke-12 di bawah peruntukan yang dirujuk sebagai projek RM1 bilion.
Status tersebut menyaksikan sekolah itu tersenarai untuk melaksanakan projek naik taraf penuh pada tahun 2027, melibatkan pemulihan dan peningkatan kemudahan secara menyeluruh.
Pada masa sama, gerakan koperasi turut meneruskan komitmen terhadap pendidikan melalui penyaluran sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM27,200 kepada warga SK Sungai Apin.
“Sumbangan CSR ini merangkumi peralatan sekolah bernilai RM150 kepada 88 murid dari Pra Sekolah hingga Tahun 5, sumbangan tunai RM200 kepada 10 murid Tahun 6 serta sebuah Interaktif SMART TV bernilai RM12,000 bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran,” jelasnya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sarawak Norazlan Anuar, Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan Hasbi Ancheh dan Guru Besar SK Sungai Apin Ibrahim Lobot. -EDISI UKAS