Penubuhan Sekolah Perubatan UTS Terima Minat Universiti Ternama UK
SIBU: Perancangan menubuhkan sebuah sekolah perubatan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) kini memasuki fasa penting apabila inisiatif tersebut menarik minat sebuah universiti ternama dari United Kingdom untuk bekerjasama membangunkannya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pendidikan dan Inovasi), Datuk Dr Annuar Rapaee berkata maklum balas yang diterima amat menggalakkan dan menjadi petanda positif terhadap kesungguhan Sarawak memperkukuh landskap pendidikan tinggi negeri.
“Kami telah menerima maklum balas yang baik daripada salah satu universiti terbaik di UK untuk bekerjasama dengan kami membangunkan sekolah perubatan ini.
"Saya telah bekerja keras dalam hal ini sejak beberapa minggu lalu dan kami berharap ia dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Program Pembangunan Pendidikan 2025 di RH Hotel, Sibu pada Rabu.
Menurutnya, kerajaan dijangka melantik pasukan kira-kira lima orang pakar menjelang 1 Januari bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan serta mengemukakan cadangan terbaik untuk penubuhan sekolah perubatan berkenaan.
“Para pakar ini akan meneliti pendekatan paling sesuai untuk kita wujudkan sekolah perubatan itu.
"Ini sebahagian daripada perancangan besar kerajaan untuk memperkasa UTS dan menyediakan lebih banyak peluang kepada generasi muda,” jelasnya.
Datuk Dr Annuar berkata UTS menunjukkan perkembangan pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apabila jumlah pelajarnya meningkat daripada lebih 1,000 kepada lebih 5,000 sehingga mencapai kapasiti maksimum.
Justeru, fokus pembangunan seterusnya adalah menaikkan kedudukan dan prestij universiti tersebut di peringkat negeri dan kebangsaan.
Dalam pada itu, beliau menyeru guru-guru untuk membimbing para pelajar dengan teliti ketika memilih Pakej A, B atau C, khususnya dengan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) Sarawak yang menawarkan 64 kursus merangkumi bidang STEM dan bukan STEM.
“FTES merupakan peluang besar. Pelajar boleh memilih kursus yang mereka minati dan memohon ke universiti pilihan tanpa terikat sistem UPU.
"Jika layak, mereka mungkin menerima tawaran daripada semua universiti yang mereka mohon,” katanya sambil menegaskan keperluan sekolah berhubung dengan ibu bapa pada awal tahun depan bagi memastikan mereka memahami kepentingan pemilihan pakej akademik.
Pada majlis berkenaan, Datuk Dr Annuar turut merakamkan penghargaan kepada para guru atas komitmen melaksanakan program seperti Laman Ilmu, STEM50 dan KLIKSPM (Klinik Latihan Intensif Kecemerlangan SPM) yang menurutnya memberi impak positif kepada prestasi pelajar.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada 102 penerima melibatkan sembilan peserta Laman Ilmu, 33 KlikSPM dan 60 STEM50.
Program tersebut turut dibantu oleh 21 sukarelawan daripada Kelab Belia Rumpun Pewaris Sibu (RPS) dan Persatuan Graduan Bumiputera Sibu (PGBS).-EDISI UKAS