18 TV Pintar Diagih Kepada 9 Sekolah Rendah di DUN Nangka Untuk Perkasa PdP Digital
SIBU: Sebanyak 18 unit televisyen pintar diagihkan kepada sembilan sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka sebagai usaha memperkasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) digital, terutamanya dalam mata pelajaran teras seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, inisiatif ini sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan murid menikmati kaedah pembelajaran interaktif sejajar dengan keperluan pendidikan masa kini.
Menurutnya, transformasi PdP turut diperkuat menerusi kerjasama dengan syarikat teknologi, ARC Technologies Sdn. Bhd., yang menukarkan buku teks Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris Tahun 4 hingga 6 kepada format digital dengan animasi, elemen interaktif dan pembelajaran berasaskan permainan.
“ARC sedang menyiapkan 30 bab digital, 10 setiap subjek, yang dibangunkan mengikut silibus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Apabila siap, guru tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada papan putih atau buku teks tradisional. Pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan mudah difahami,” katanya semasa majlis penyerahan berkenaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia Jaya, Teku pada Khamis.
Datuk Dr. Annuar yakin pendekatan baharu ini dapat meningkatkan minat dan pemahaman murid terhadap konsep asas STEM, sekali gus membantu mereka mencapai keputusan lebih baik dalam Ujian Penilaian Program Dwibahasa (UP-DLP).
Beliau menekankan keperluan memperkukuh penguasaan Matematik dan Sains selepas keputusan UP-DLP menunjukkan prestasi kedua-dua subjek itu masih lemah.
Selain itu, beliau berkata, kekurangan guru opsyen dalam mata pelajaran berkenaan turut menjadi cabaran utama.
Justeru, beliau berkata, satu bengkel intervensi khas iaitu Empowering Mathematics and Science Sarawak (EMAS) akan diadakan pada pertengahan Januari depan, melibatkan guru besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi merangka program peningkatan akademik secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Dr Annuar berkata UP-DLP kini menjadi penanda aras penting kerana ia digunakan untuk mengenal pasti pelajar yang layak memasuki Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS), sekolah aliran antarabangsa yang semakin menjadi rebutan ibu bapa.
Di samping itu, beliau berharap ibu bapa dan PIBG di semua sekolah memainkan peranan aktif dalam memastikan murid mendapat sokongan pembelajaran yang konsisten di rumah, selain memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan.
Turut hadir ialah Guru Besar SK Kampung Bahagia Jaya Teku Hamdi Najdi.-EDISI UKAS