SJKC Kung Cheng, Meradong Rai Kejayaan, Kecemerlangan Pelajar
MERADONG: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Cheng, Meradong meraikan kejayaan dan kecemerlangan pelajar dalam satu majlis penyampaian hadiah, pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penganjuran majlis tersebut membuktikan kesungguhan pihak sekolah dalam mengiktiraf pencapaian para pelajar bagi tahun ini.
“Majlis penyampaian hadiah bukan sahaja menjadi platform meraikan kejayaan pelajar, malah mencerminkan komitmen keseluruhan warga sekolah dalam memastikan kecemerlangan akademik dan sahsiah,” katanya semasa majlis tersebut.
Menurut Datuk Ding lagi, kejayaan yang diraih para pelajar merupakan hasil disiplin, ketekunan dan sokongan padu daripada ibu bapa serta bimbingan para guru.
Beliau menyeru mereka untuk meneruskan usaha tersebut serta menjadikan pencapaian pada hari ini sebagai pemangkin untuk mencapai kejayaan lebih gemilang pada masa hadapan.
Datuk Ding turut menzahirkan penghargaan kepada para guru yang disifatkan sebagai nadi utama dalam membentuk pelajar bukan sahaja dari segi akademik, malah pembangunan jati diri dan masa depan.
Dalam majlis yang sama, Datuk Ding mengumumkan sumbangan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM3,000 kepada sekolah bagi pelaksanaan aktiviti tahunan tahun 2026.-EDISI UKAS