UKAS 'Jambatan' Utama Antara Kerajaan & Rakyat, 'Tanggungjawab Moral' Pastikan Maklumat Disampaikan Tepat
KUCHING: Dalam landskap penyampaian kerajaan negeri yang semakin dinamik, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bukan lagi sekadar agensi komunikasi sebaliknya muncul sebagai ‘jambatan’ penting yang menghubungkan dasar kerajaan dengan kefahaman serta kepercayaan rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, peranan tersebut menuntut UKAS untuk sentiasa berada di hadapan dalam memastikan setiap usaha, dasar dan inisiatif kerajaan bukan sahaja disampaikan dengan tepat, malah benar-benar difahami dan dirasai oleh rakyat.
Menurutnya, dalam konteks penyampaian kerajaan hari ini, UKAS memainkan fungsi yang lebih besar daripada sekadar penyebaran maklumat, sebaliknya bertindak sebagai penghubung strategik yang membina jaringan komunikasi dua hala antara kerajaan, agensi serta masyarakat di peringkat akar umbi.
"Ketika kerajaan sedang giat membina 12 jambatan fizikal bernilai RM6 bilion di seluruh Sarawak, hakikatnya terdapat satu lagi jambatan yang jauh lebih penting iaitu UKAS sebagai 'jambatan' antara kerajaan dan rakyat, dan itulah peranan UKAS.
"Anda (UKAS) adalah 'wajah' dan 'visual' kepada penyampaian kerajaan, malah menjadi penghubung paling utama antara kerajaan dan rakyat. Justeru, peranan ini bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi memastikan setiap usaha dan inisiatif kerajaan dapat diketengahkan dengan jelas dan berkesan," katanya dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri UKAS 2026 di Ibu Pejabat UKAS, pada Khamis.
Hadir sama memeriahkan majlis ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta warga kerja UKAS di ibu pejabat.
Beliau menambah, warga UKAS perlu sentiasa bersedia untuk menilai semula pendekatan kerja, memperkukuh strategi serta meningkatkan keupayaan diri dari semasa ke semasa agar kekal relevan dalam landskap komunikasi yang sentiasa berubah.
Jelasnya, tahun ini merupakan 'tahun peperiksaan' seperti yang ditekankan oleh Premier Sarawak, sekali gus menuntut tahap kesiapsiagaan dan keberkesanan penyampaian yang lebih tinggi.
"Dalam konteks ini UKAS berada di barisan hadapan, sentiasa menjadi rujukan dan terlibat secara langsung dalam hampir setiap inisiatif kerajaan, sekali gus mengangkat peranannya sebagai antara agensi utama dalam menjayakan strategi komunikasi dan penyampaian kerajaan.
“Anda (UKAS) bukan sekadar menjalankan tugas sebagai wakil komunikasi awam, tetapi sebagai insan yang memikul tanggungjawab lebih besar. Ini adalah satu 'tanggungjawab moral' untuk memastikan setiap maklumat disampaikan dengan tepat dan dalam masa yang sama membina jaringan yang kukuh antara masyarakat, kerajaan serta setiap agensi yang terlibat," katanya lagi. -EDISI UKAS