Premier Sarawak & Rombongan Lawat Suzhou Industrial Park Exhibition Center
SUZHOU: Lawatan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama delegasi ke Suzhou Industrial Park (SIP) Exhibition Center pada Jumaat sekaligus membuka lembaran baharu mengenai bagaimana perancangan berdisiplin, tadbir urus berkesan dan inovasi teknologi mampu membentuk sebuah ekosistem perindustrian bertaraf dunia.
Mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS, Dato Janin Girie serta rombongan lain.
Seawal melangkah masuk ke pusat pameran itu, delegasi Sarawak disajikan dengan paparan kronologi transformasi SIP kepada hab industri global yang menggabungkan pembuatan berteknologi tinggi, bandar pintar dan kelestarian alam sekitar.
Model perancangan induk berskala besar yang dipamerkan memperlihatkan penyepaduan industri, infrastruktur, kediaman dan ruang hijau secara seimbang yang menjadi tunjang kejayaan SIP.
Taklimat yang disampaikan turut menonjolkan kekuatan SIP dalam membangunkan kluster industri bernilai tinggi, termasuk semikonduktor, bioperubatan, automasi, teknologi maklumat serta tenaga bersih.
Perhatian delegasi turut tertumpu kepada penggunaan teknologi digital dan sistem pengurusan bandar berasaskan data yang meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, pengurusan utiliti serta perancangan bandar rendah karbon.
Pendekatan ini selari dengan aspirasi Sarawak untuk membangunkan Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH) sebagai pemangkin ekonomi masa hadapan.
Lawatan ke SIP Exhibition Center ini bukan sekadar tinjauan pameran, malah menjadi platform pembelajaran strategik yang memberi inspirasi kepada Sarawak untuk menyesuaikan amalan terbaik global mengikut konteks tempatan dengan matlamat membina industri yang berdaya saing, berteknologi maju dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Selepas itu, Premier Sarawak bersama delegasi mengadakan pertemuan bersama Datuk Bandar, Kerajaan Perbandaran Suzhou, Wu Qingwen.
Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar, China Jiangsu International Group, Deng Yajun serta Setiausaha Agung, Kerajaan Perbandaran Suzhou, Xu Ben.