Industri Masa Hadapan Jadi Tumpuan Baharu Sarawak, Tarik Pelaburan Asing
SUZHOU: Sarawak bersedia mengorak langkah ke hadapan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan industri masa depan, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai destinasi pelaburan asing yang berdaya saing dan menarik di rantau ASEAN.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau kini mempunyai idea baharu mengenai pembangunan taman perindustrian yang dicadangkan, namun berbeza daripada perancangan awal sebelum lawatan ini.
Menurutnya, hasil lawatan kerja rasmi ini, konsep tersebut akan diselaraskan bukan sahaja dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), malah dengan keperluan ekonomi baharu dan apa yang dikenali sebagai industri masa hadapan.
"Sejurus kepulangan saya nanti, saya akan memanggil satu mesyuarat khas bagi membincangkan perkara ini," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat GCL Group di sini pada Jumaat.
Mengiringi Premier Sarawak ialah Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS, Dato Janin Girie serta rombongan lain.
Dalam perkara ini, Premier Sarawak melihat potensi pembangunan masa hadapan bukan sahaja dalam konteks serantau ASEAN, malah pada skala global.
Justeru jelasnya, pendekatan dan strategi pembangunan negeri perlu dirangka semula selari dengan perubahan landskap ekonomi selepas menyaksikan sendiri perkembangan ini.
"Ini kerana matlamat dan aspirasi kita adalah untuk menjadikan Sarawak sebagai bintang ASEAN, memandangkan kita kini semakin berhubung rapat dengan negara-negara anggota ASEAN.
"Selain itu, kita juga akan mempelbagaikan aktiviti ekonomi dengan memanfaatkan tenaga bersih dan tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber utama, seterusnya menghasilkan produk moden yang berdaya saing daripada sumber tersebut," katanya.-EDISI UKAS