Countdown 2026 Dijangka Menjadi Sambutan Tahun Baharu Terbesar Di Bumi Kenyalang
KUCHING: Sambutan Pengiraan Detik Tahun Baharu 2026 atau Countdown 2026 dijangka berlangsung meriah pada 31 Disember 2025 dengan Tebingan Kuching sekali lagi dipilih sebagai lokasi utama penganjuran.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan Countdown 2026 yang bertemakan “Fiesta” ini dijangka sambutan tahun baharu terbesar di Bumi Kenyalang.
“Orang ramai juga adalah dijemput bersama untuk sama-sama memeriahkan sambutan tahun 2026” ujarnya dalam sidang media di sini, pada Jumaat.
Beliau yang juga Menteri bertanggungjawab bagi sambutan tahun ini menjangkakan sambutan lebih meriah dengan barisan persembahan melibatkan artis termasuk Gabriel Mawat, Ng Chien Chien, Meera Zada, Carrie Geres, Razali Sa’at dan Jolly Jengan pada segmen pra-persembahan bermula jam 8 malam.
Segmen rasmi yang berlangsung antara jam 10 hingga 12 malam pula akan menampilkan artis popular seperti KRU, Dayang Nurfaizah, Jatt Ali, dan Naqiu, di samping kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Sebagai kemuncak kepada sambutan acara Countdown 2026, malam tersebut bakal digamatkan dengan persembahan eksklusif oleh penyanyi tersohor dari Indonesia, Judika.
Selain itu, acara turut diserikan dengan pertunjukan bunga api selain pelancaran “Gateway To A Sarawak Guiness World Record” yang baru-baru ini diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai rekod perjalanan GPS terpanjang menggunakan dron.-EDISI UKAS-
Dilaporkan Oleh: Mia Amira & Betrice Britney Dee
Foto: Betrice Britney Dee