Batang Ai Terima Suntikan Pembangunan Baharu Bawah RTP & MRP 2026
LUBOK ANTU: Pembangunan di Batang Ai terus diperkukuh dengan kelulusan pelbagai projek baharu di bawah RTP 2026 dan peruntukan MRP, memberi tumpuan kepada kemudahan asas serta keperluan rumah panjang di kawasan Skim Penempatan Semula.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap ADUN Batang Ai, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, berkata kepimpinan Kerajaan Sarawak yakin usaha menarik pelabur dan memperkukuh ekonomi negeri dapat dipacu melalui peruntukan Bajet Negeri RM12.1 bilion pada 2026.
“Kerajaan komited meneruskan pembangunan terutama untuk masyarakat rumah panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Lawatan Projek RTP 2026 dan sesi Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jenai Anak Gutak, Engkaras.
Antara projek yang akan dilaksanakan termasuk pembinaan mini pengalak baharu, penyediaan tapak rumah panjang, serta kerja-kerja naik taraf beberapa rumah panjang di kawasan berkenaan.
Selain itu, beberapa JKKK di Skim Penempatan Semula turut menerima bantuan di bawah peruntukan MRP bagi menyokong pentadbiran komuniti.
Inisiatif ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasakan struktur komuniti luar bandar dan memastikan pembangunan Batang Ai terus bergerak ke hadapan.-EDISI UKAS