Keharmonian Kaum Teras Kestabilan Dan Kemajuan Sarawak
LIMBANG: Sarawak terus mengekalkan keharmonian kepelbagaian kaum sebagai asas utama kestabilan dan kemajuan negeri.
Kehidupan masyarakat berbilang etnik yang saling menghormati serta bekerjasama menjadi kekuatan Sarawak, sekali gus mencerminkan perpaduan kukuh yang sentiasa ditekankan oleh kepimpinan negeri.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika berucap dalam Sambutan Majlis Pra Krismas Batu Danau, Limbang 2025 pada Sabtu.
Beliau berkata, setiap perayaan di Sarawak diraikan dalam suasana harmoni dengan semangat saling menyokong antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.
Menurutnya, perayaan Krismas membawa mesej sejagat yang menekankan nilai kemanusiaan seperti kasih sayang, harapan, kemurahan hati, keadilan, kesaksamaan dan kedamaian yang turut dikongsi oleh agama-agama lain.
“Di Sarawak ini, dalam kepelbagaian kita mempunyai kepercayaan agama yang berbeza, kita mempunyai budaya dan latar belakang yang berbeza, namun kita dapat hidup dalam satu semangat kesepaduan.
“Kita merayakan kepelbagaian ini, dari itu kita harus bersyukur dan meraikan anugerah yang diberikan oleh Tuhan Maha Esa”, katanya.
Beliau menambah, perpaduan yang kukuh amat penting bagi memastikan rakyat dapat hidup dalam suasana aman dan tenteram, sekali gus menyokong agenda pembangunan negeri secara berterusan.
Menyentuh cabaran semasa, Datuk Amar Awang Tengah berkata walaupun Sarawak berdepan ketidaktentuan geopolitik global dan cabaran perdagangan antarabangsa yang memberi kesan kepada hasil pendapatan, kerajaan negeri kekal berdaya tahan dan berupaya merangka Belanjawan 2026 yang hampir mencecah RM13 bilion.
Menurutnya, peruntukan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak untuk terus memperkukuh pembangunan fizikal, mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan, memantapkan sistem pendidikan serta meningkatkan kemahiran generasi muda demi kesejahteraan rakyat.
Peningkatan peruntukan tersebut jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan Sarawak dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, selain memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Beliau juga menasihatkan rakyat agar sentiasa berhati-hati terhadap propaganda dan maklumat tidak benar yang disebarkan melalui media sosial supaya tidak terpengaruh dengan hasutan dan fitnah yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
“Dengan azam, semangat dan keyakinan yang kukuh, kita mampu membawa Sarawak ke tahap kemajuan yang lebih tinggi serta meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai kemudahan terus dipertingkatkan, khususnya dalam aspek infrastruktur dan pendidikan, selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan yang inklusif dan seimbang dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini.-EDISI UKAS