Iftar MADANI JAKIM Sarawak Santuni Warga PDK Lawas
LAWAS: Majlis Iftar MADANI anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak bersama warga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Lawas berlangsung dalam suasana penuh kebersamaan, sekali gus menyantuni golongan memerlukan sempena Ramadan.
Pengerusi PERKIM Lawas merangkap Penaung PDK Lawas, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud berkata, kehadiran warga PDK mengingatkan masyarakat bahawa golongan istimewa merupakan amanah yang perlu disantuni dengan penuh kasih sayang.
Menurut beliau, mereka bukanlah beban kepada masyarakat, sebaliknya menjadi sumber inspirasi yang mendidik nilai kesabaran serta kesyukuran dalam kehidupan.
Pada majlis tersebut, seramai 50 penerima turut menerima sumbangan sebagai tanda sokongan kepada golongan memerlukan.
Sementara itu, Pengarah JAKIM Sarawak, Ustaz Hamdan Jar’ee menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama dengan PDK serta agensi berkaitan bagi memperkukuh usaha kebajikan dan program kemasyarakatan.
Majlis turut diisi dengan tazkirah Ramadan sebelum diakhiri dengan sesi berbuka puasa bersama dalam suasana penuh ukhuwah.-EDISI UKAS