Great British Circus Kembali Di Kuching, 20 Mac Hingga 26 April Ini
KUCHING: Sarawak sekali lagi bakal menjadi pentas kepada persembahan Great British Circus apabila sarkas antarabangsa itu kembali menghiburkan pengunjung menerusi jelajah terbaharunya di Dataran Perayaan Petra Jaya di sini dari 20 Mac hingga 26 April ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penampilan semula persembahan bertaraf antarabangsa itu mencerminkan keyakinan penganjur luar terhadap Sarawak sebagai destinasi seni, hiburan dan pelancongan yang semakin berkembang.
Menurut beliau, Great British Circus yang pernah mengadakan persembahan di Sarawak pada 2024 sebelum ini menerima sambutan amat menggalakkan apabila berjaya menarik kira-kira 40,000 penonton di tiga lokasi penganjuran.
“Great British Circus kembali ke Sarawak bukan sahaja untuk menawarkan hiburan mesra keluarga, malah memberi peluang kepada orang ramai, khususnya kanak-kanak, menyaksikan sendiri persembahan secara langsung yang jarang dapat dinikmati.
“Kepulangan semula sarkas antarabangsa ini ke beberapa lokasi di Sarawak juga membuktikan negeri ini semakin kukuh sebagai hab seni dan hiburan sekali gus memperlihatkan keyakinan penganjur luar untuk terus memilih Sarawak sebagai destinasi persembahan bertaraf antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Persembahan Sarkas Great British Circus di Bangunan Baitulmakmur II, di sini pada Isnin.
Dato Sri Abdul Karim turut menggalakkan orang ramai agar membawa anak-anak serta keluarga menikmati persembahan tersebut sebagai satu bentuk hiburan berkualiti yang berbeza daripada kebiasaan.
Dalam pada itu, beliau berkata lokasi pementasan di Dataran Perayaan Petra Jaya dipilih kerana mempunyai kawasan yang luas, kemudahan parkir mencukupi serta sesuai untuk kunjungan keluarga.
"Persembahan tersebut dijangka turut menarik pengunjung dari luar Sarawak termasuk dari Brunei, Indonesia, Kalimantan Barat, khususnya sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri sekali gus memberi limpahan manfaat kepada sektor ekonomi tempatan," katanya.
Sementara itu, pihak penganjur memaklumkan bahawa Great British Circus 2026 akan tampil dengan konsep persembahan baharu bertemakan pengembaraan lanun ke dasar lautan dalam pencarian harta karun, lengkap dengan kemunculan makhluk mistik dan duyung.
Persembahan selama dua jam itu dijangka menyajikan pengalaman hiburan keluarga yang penuh warna-warni menerusi gabungan elemen komedi, aksi lagak ngeri, akrobatik, tarian serta persembahan pentas air oleh barisan artis antarabangsa dari pelbagai negara.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket serta mengikuti pengumuman lokasi jelajah seterusnya menerusi laman sesawang rasmi Great British Circus (www.greatbritishcircus.com).-EDISI UKAS