RM4.968 Juta Peruntukan GKCDA Perkasa Infrastruktur Di DUN Kedup
TEBEDU: Agensi Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) memperuntukkan hampir RM4.968 juta bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup bagi meningkatkan kemudahan asas serta kesejahteraan penduduk luar bandar.
Di Kampung Mentu Mawang, dua projek pembangunan utama telah dilaksanakan oleh GKCDA bagi meningkatkan akses dan keselesaan penduduk setempat.
Projek pertama melibatkan pembinaan jalan kampung yang berjaya disiapkan dalam tempoh lapan bulan dengan kos keseluruhan RM368,000.
Sementara itu, projek kedua ialah pembinaan Jambatan Sungai Kedup yang kini sedang dilaksanakan dengan kos sebanyak RM4.3 juta.
Projek jambatan tersebut mempunyai tempoh pembinaan selama 15 bulan dan telah bermula pada 24 November 2025, dengan jangkaan siap sepenuhnya pada 23 Februari 2027.
Pembinaan jambatan itu merangkumi beberapa komponen utama termasuk jambatan sepanjang 50 meter dengan lebar 5.5 meter, pembinaan jalan sepanjang 200 meter dengan lebar 5.5 meter, serta kerja-kerja berkaitan bagi menyokong kemudahan infrastruktur tersebut.
Majlis perasmian bagi kedua-dua projek tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben di Kampung Mentu Mawang pada Isnin.
Dalam ucapannya, beliau berharap pembinaan jalan dan jambatan tersebut dapat meningkatkan aksesibiliti penduduk, memudahkan pergerakan serta menjimatkan masa perjalanan masyarakat setempat.
Menurut beliau, kemudahan infrastruktur yang lebih baik juga berpotensi membuka peluang kepada penduduk untuk memanfaatkan tanah terbiar melalui aktiviti pertanian komersial seperti penanaman kelapa sawit, selain menyokong pembangunan penempatan baharu pada masa hadapan.
Beliau turut memaklumkan bahawa pembangunan infrastruktur asas yang dilaksanakan secara berterusan di kawasan DUN Kedup berpotensi meletakkan kawasan tersebut untuk dinaik taraf sebagai daerah kecil dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, sekiranya kemudahan yang dibangunkan mampu memberi manfaat menyeluruh kepada penduduk di kawasan berkenaan.-EDISI UKAS