FAMA Salur Peralatan HIP Kepada Usahawan Tempatan Miri
MIRI: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Bahagian Miri menyalurkan bantuan peralatan di bawah program High Impact Product (HIP) bernilai RM234,500 kepada syarikat Iana Corporation Sdn Bhd bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran serta kualiti produk.
Pegawai FAMA Bahagian Miri, Kemin Rantap berkata bantuan tersebut disalurkan melalui konsep geran pemadanan 50:50, melibatkan sumbangan RM117,250 daripada kerajaan melalui FAMA manakala baki RM117,250 ditanggung oleh pihak usahawan.
Menurut beliau, program HIP memberi tumpuan kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berdaya saing serta mempunyai rekod jualan baik bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran, kualiti produk dan pemasaran.
Dua mesin utama diserahkan kepada syarikat berkenaan ialah mesin Thermal Decontamination System bernilai RM148,500 serta mesin Horizontal Packaging Machine bernilai kira-kira RM86,000.
Beliau turut memaklumkan bahawa bagi tahun ini FAMA Bahagian Miri menyasarkan sekurang-kurangnya empat usahawan tempatan dibangunkan melalui program HIP, dengan Iana Corporation menjadi penerima pertama bagi tahun 2026.
Sementara itu, wakil syarikat, Mohammad Hafidz Rohani berkata peralatan tersebut akan membantu meningkatkan keupayaan pengeluaran syarikat, khususnya bagi produk kek lapis yang dihasilkan.
Menurutnya, mesin thermal decontamination yang diperoleh mampu memanjangkan jangka hayat produk kek lapis sehingga setahun pada suhu bilik melalui proses vakum dan pemanasan yang membunuh bakteria.
Selain itu, mesin pembungkusan baharu juga membolehkan syarikat menghasilkan pelbagai saiz produk atau stock keeping unit (SKU) bagi memperluas pasaran.-EDISI UKAS