Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tunjang Utama Bentuk Generasi Berdaya Saing
KOTA SAMARAHAN: Pendidikan awal kanak-kanak merupakan tunjang utama dalam membentuk generasi berdaya saing dan berakhlak mulia.
Timbalan Pengarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sarawak, Roselind Wilson Laing, berkata kanak-kanak harus diberi pendedeahan awal sebagai persediaan mereka melangkah masuk ke alam pembelajaran arus perdana.
Malah katanya, pengiktirafan menerusi penganjuran majlis apresiasi wajar dilaksanakan untuk kanak-kanak sebagai suntikan semangat kepada mereka untuk meneruskan pembelajaran mereka ke peringkat seterusnya.
“Penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja mengiktiraf pencapaian pelajar, malah mampu meningkatkan keyakinan diri serta menyemai semangat cintakan ilmu sejak di bangku awal persekolahan.
“Saya juga menyeru Ibu bapa agar terus memainkan peranan sebagai rakan strategik KEMAS dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan positif," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Apresiasi Pelajar Tabika/Taska KEMAS Asajaya, pada Sabtu.
Dalam majlis itu, seramai 516 pelajar Tabika dan Taska KEMAS dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya dan DUN Stakan menerima pengiktirafan atas pencapaian mereka sepanjang sesi pembelajaran.
Selain itu katanya, penganjuran majlis tahunan ini turut menjadi wadah untuk menghargai komitmen berterusan ibu bapa dan pendidik dalam menyokong perkembangan holistik anak-anak sejak usia muda.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada warga pendidik KEMAS dan ibu bapa atas dedikasi tinggi dalam membimbing anak-anak agar berkembang secara menyeluruh, selari dengan keperluan masa depan,” tambahnya lagi.
Hadir sama, Pegawai KEMAS Bahagian Samarahan Muhammad Asyraf Md Nor dan Penyelia Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Parlimen Kota Samarahan Sapiah Kipli. -EDISI UKAS