Warga Pendidik Diseru Tingkat Mutu Penyampaian Pendidikan
BINTULU: Warga pendidik diseru agar terus mempertingkat mutu penyampaian pendidikan dan tidak berasa selesa dengan pencapaian sedia ada dalam usaha melahirkan murid yang bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemimpin masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, peranan guru amat signifikan dalam membentuk modal insan berkualiti, justeru pengukuhan profesionalisme, penerapan kaedah pengajaran yang relevan serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa perlu diberi perhatian berterusan.
"Murid perlu dibimbing secara menyeluruh kerana mereka bukan hanya menimba ilmu di bilik darjah, malah dibentuk sebagai aset penting negara merangkumi aspek akademik, sahsiah dan kepimpinan.
“Kejayaan yang dicapai hari ini tidak seharusnya menyebabkan kita leka, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus menambah baik kualiti pendidikan agar seiring dengan tuntutan masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak, Noriha Ali pada Majlis Anugerah Kemenjadian Murid (MAKEM) 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemena di sini, pada Selasa.
Iskandar turut menegaskan bahawa kecemerlangan murid tidak boleh dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan pembangunan sahsiah, disiplin serta keupayaan berfikir secara kritis dan berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau menekankan kejayaan agenda pendidikan hanya dapat dicapai menerusi kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berkesan.
Ujarnya, MAKEM 2025 menjadi wadah penting untuk menghargai usaha murid dan pendidik selain memupuk budaya kecemerlangan secara menyeluruh dalam kalangan warga sekolah.-EDISI UKAS