Kerajaan Persekutuan Fokus Laksana Perkara Dipersetujui Di Bawah MA63
KUCHING: Kerajaan Persekutuan menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan secara berkesan selaras dengan perkara-perkara yang telah dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan serta Sabah dan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, keutamaan kerajaan pada masa ini bukan sekadar kepada peruntukan tetapi juga memberi tumpuan kepada pelaksanaan sebenar setiap persetujuan yang telah dicapai di bawah MA63.
Sebagai contohnya ujarnya, peruntukan RM6 bilion telah diumumkan setiap tahun namun hanya 80 ke 90 peratus sahaja dibelanjakan sehingga hujung tahun.
"Sebab itu, salah satu perkara yang telah kita persetujui di bawah MA63 ialah melalui jawatankuasa teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), agensi air dan sebagainya.
"Sebarang peruntukan berjumlah RM50 juta akan diserahkan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk dilaksanakan namun sentiasa ada cabaran sama ada mereka mempunyai keupayaan untuk melaksanakannya.
"Jadi, inilah bidang-bidang yang sedang kita teliti dari segi pelaksanaan yang berkesan dan cekap," katanya ketika dalam sesi forum sempena Persidangan Bajet Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.
Justeru katanya, kerajaan telah mewujudkan satu pasukan petugas, bukan sahaja untuk memantau tetapi juga bagi memastikan apa sahaja yang telah diluluskan mesti dilaksanakan dengan betul berdasarkan peruntukan belanjawan bagi tahun berkenaan.
Datuk Amar Fadillah memberitahu, antara cabaran lain yang kini memerlukan perhatian adalah penafsiran undang-undang memandangkan terdapat perbezaan pandangan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sama ada Sarawak atau Sabah.
Jelasnya, perkara ini bukannya mudah kerana mengambil masa yang panjang untuk ditafsirkan sama ada dari sudut perlembagaan dan undang-undang di peringkat persekutan serta undang-undang di peringkat negeri.
"Inilah perkara-perkara yang sedang kita perhalusi dan diharapkan dapat diselesaikan kerana tidak banyak isu tertunggak pada masa ini namun ia masih perlu diselesaikan," jelasnya.
Bersama beliau dalam sesi forum tersebut, Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kewangan Sarawak Datu Hasmawati Sapawi, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Centre of Performance Excellence Sdn Bhd (SCOPE) Joseph Lim Jiet Sek, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad, Pengasas Merangkap Pengarah Urusan Kumpulan SALIHIN International Dato Salihin Abang serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS