Festival Sarawakiana 2025 Perkukuh Pemeliharaan Warisan Ilmu & Budaya
KUCHING: Penganjuran Festival Sarawakiana 2025 terus memperkukuh usaha pemeliharaan serta pendokumentasian warisan ilmu, budaya dan kepercayaan sebagai khazanah intelektual yang membentuk identiti serta jati diri masyarakat Sarawak merentasi generasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli berkata, warisan tersebut bukan sekadar tinggalan masa lalu, sebaliknya merupakan sistem hidup yang terus membentuk nilai, amalan sosial serta cara hidup masyarakat.
“Warisan ilmu, budaya dan kepercayaan ini berfungsi sebagai teras pembentukan jati diri, kesinambungan sejarah dan kestabilan sosial masyarakat, di samping menjadi sumber rujukan moral serta asas kepada kreativiti dan inovasi budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Pustaka Negeri Sarawak, Wan Mazli Wan Razali semasa Majlis Penangguhan Festival Sarawakiana ke-7 yang bertemakan Warisan Ilmu, Budaya dan Kepercayaan di sini pada Selasa.
Sementara itu, menurut beliau, dalam konteks semasa warisan tersebut turut mempunyai nilai strategik dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pembangunan pelancongan budaya dan pemeliharaan biodiversiti, selaras dengan prinsip pembangunan lestari.
Mengenai cabaran semasa, beliau berkata arus globalisasi, perubahan gaya hidup serta dominasi budaya global berpotensi menjejaskan kesinambungan warisan tempatan sekiranya tidak ditangani secara terancang.
Menyentuh perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), beliau menjelaskan teknologi tersebut menawarkan potensi besar dalam pendigitalan dan pemuliharaan koleksi, namun perlu diurus secara beretika.
“AI mampu mempercepatkan dokumentasi dan memperluas capaian maklumat budaya, tetapi pada masa sama boleh menggugat keaslian dan identiti tradisi sekiranya tidak diurus dengan teliti,” jelasnya.
Festival Sarawakiana 2025 turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian antaranya Forum Sarawakiana, siri ceramah, bengkel tarian budaya Bidayuh, bengkel Ngepan Batang Rajang, bengkel seni ukiran Kelembit, sesi cerita rakyat serta pertandingan hadrah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Dalam pertandingan hadrah, Kumpulan Hadrah Nurfatihah Kampung Kudei Baru muncul pemenang bagi Persembahan Terbaik dan membawa pulang hadiah utama bernilai RM3,000, manakala kategori Busana Terbaik dimenangi Kumpulan Hadrah Gabungan Seni Warisan dan Kumpulan Hadrah Gemar Bakti dipilih sebagai Kumpulan Pilihan Ramai.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen, Timbalan Pengerusi, Lembaga Pengurusan Pustaka, Datu Dr Rashidah Bolhassan, Ahli Lembaga Pengurusan Pustaka, Ir. Dato Lo Khere Chiang serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS