Pendekatan Inklusif Tangani Cabaran Sekolah Kurang Murid Luar Bandar Sarawak
KUCHING: Cabaran pendidikan di luar bandar Sarawak yang melibatkan ratusan sekolah kurang murid memerlukan pendekatan lebih inklusif dan realistik, khususnya dalam memastikan kesejahteraan pelajar terus terpelihara.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, antara pendekatan inklusif yang perlu diberi perhatian ialah pelaksanaan aktiviti fizikal dan sukan yang disesuaikan dengan keadaan setempat agar dapat memberi manfaat sebenar kepada pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Sarawak mempunyai kira-kira 1,200 buah sekolah rendah di seluruh negeri.
“Lebih separuh daripadanya merupakan sekolah kurang daripada 150 orang murid, malah ada sekolah yang hanya mempunyai empat atau lima orang murid sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I (Pendidikan dan Inovasi), Datuk Dr. Annuar Rapee dalam Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Asia Pasifik Ke-11 Sains Senaman dan Sukan (APCESS 2025) di sini, pada Selasa.
Beliau menambah, realiti tersebut memerlukan pendekatan aktiviti fizikal yang mudah, kos rendah dan praktikal, namun tetap mampu memberi kesan positif terhadap kesihatan serta kesejahteraan pelajar.
Dalam pada itu, Dato Sri Roland menegaskan bahawa kesejahteraan pelajar tidak boleh dipisahkan daripada kebajikan dan kesihatan guru.
"Pengurangan bilangan peperiksaan di sekolah merupakan antara langkah bagi mengurangkan tekanan terhadap pelajar.
“Kesihatan, motivasi dan daya tahan guru serta pelajar saling berkait dalam membentuk suasana pembelajaran yang sihat.
“Namun, guru kini berdepan beban tugas yang semakin mencabar, termasuk penyesuaian kepada pembelajaran digital serta keperluan menyokong murid yang terkesan selepas pandemik,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau menekankan peranan APCESS 2025 sebagai platform penting untuk menghimpunkan pakar pelbagai bidang bagi merangka penyelesaian berasaskan bukti.-EDISI UKAS