Perarakan Krismas Simunjan 2025 Cerminan Perpaduan & Keharmonian Rakyat Sarawak
SIMUNJAN: Perarakan Krismas Daerah Simunjan 2025 mencerminkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama yang menjadi kekuatan unik Sarawak.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, berkata perarakan pra-Krismas itu jelas membuktikan bahawa sambutan berkenaan adalah untuk semua lapisan masyarakat, melibatkan kanak-kanak, pelajar sekolah rendah dan menengah, golongan belia, ibu bapa serta warga emas.
“Inilah bukti bahawa perayaan ini benar-benar milik kita semua,” katanya semasa berucap dalam majlis berkenaan, di sini, pada Sabtu.
Rodiyah turut menekankan bahawa kepelbagaian tersebut bukan sekadar realiti sosial, malah merupakan kekuatan yang perlu dipelihara dan dibanggakan.
Jelas beliau, semangat perpaduan kaum yang wujud di Simunjan sentiasa diraikan bersama tanpa mengira latar belakang agama, sama ada Islam atau Kristian, selaras dengan nilai keharmonian yang menjadi asas kehidupan rakyat Sarawak.
“Sehubungan itu, saya berhasrat agar perarakan pra-Krismas ini diteruskan sebagai program tahunan dan dimasukkan ke dalam kalendar rasmi daerah, sekali gus berpotensi menarik kehadiran pengunjung luar untuk menyaksikan keunikan budaya dan kepelbagaian masyarakat Simunjan,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan peranan penting Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sebagai bukti komitmen Kerajaan Sarawak dalam menjaga kebajikan semua penganut agama.
Menurutnya, kewujudan unit khas tersebut memastikan kebajikan agama-agama lain sentiasa terpelihara, termasuk melalui penyaluran bantuan kepada gereja, kuil, tokong serta pelaksanaan aktiviti keagamaan.
“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa memastikan semua agama diberi perhatian yang adil supaya kita dapat terus hidup aman dan segulai sejalai,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, Rodiyah menyeru semua gereja dan rumah ibadat di Simunjan yang masih belum berdaftar dengan UNIFOR supaya segera berbuat demikian bagi memudahkan urusan permohonan bantuan kerajaan Sarawak.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pengerusi Jawatankuasa Perarakan Krismas Daerah Simunjan 2025 Pastor Piot Japok dan Penghulu Jubin Sili. -EDISI UKAS