Warga Berbasikal Sarawak Terima Pengiktirafan Atas Sumbangan & Pencapaian
KUCHING: Sumbangan dan pencapaian warga sukan berbasikal Sarawak dalam pembangunan serta penganjuran acara berbasikal di seluruh negeri terus diberi pengiktirafan melibatkan rakan kolaborasi, pegawai teknikal, jurulatih dan atlet.
Pengiktirafan tersebut disampaikan sempena majlis makan malam Persatuan Berbasikal Sarawak (Sarawak Cycling Association, SCA) yang turut menjadi platform memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti berbasikal.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah hadir menyempurnakan simbolik penyerahan anugerah sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan warga sukan berbasikal negeri.
Antara objektif utama pengiktirafan tersebut ialah menghargai rakan kolaborasi acara yang membantu menjayakan aktiviti dan kejohanan berbasikal di Sarawak, memberi pengiktirafan kepada pegawai serta jurulatih atas khidmat bakti dan kecemerlangan dalam pembangunan atlet, selain meraikan kejayaan atlet Sarawak yang muncul sebagai juara kebangsaan.
Antara penerima pengiktirafan ialah Zulaihi Seri yang menerima Anugerah Khidmat Bakti (Long Service Award), Muhammad Aim Mohammad Fauzi sebagai Jurulatih Terbaik Lelaki dan Ariana Nurminda Arifin sebagai Jurulatih Terbaik Wanita.
Pengiktirafan turut diberikan kepada atlet Sarawak Cycling Team yang meraih kejuaraan kebangsaan termasuk Awang Faries Danish Awang Faizal bagi kategori Trek; Afif Darwysh Mohd Nazir serta Muhammad Danial Hakim Zulkaisi bagi kategori Trek dan Jalan Raya, Aimy Nazurah Rais bagi MTB (Downhill) serta Airis Nabihah Rais dan Muhammad Luthfil Hasief Freddie bagi kategori BMX.
Majlis turut dihadiri oleh Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) merangkap Presiden Asian Cycling Confederation (ACC), Dato’ Amarjit Singh Gill serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Khairul Nizam Morshidi.
Sarawak Cycling Association Appreciation Night 2025 membawa tema penghargaan, kebersamaan dan kesungguhan selari dengan aspirasi SCA dalam menghargai sumbangan serta memperkukuh ekosistem sukan berbasikal di Sarawak.-EDISI UKAS