Projek Bina Jalan Ladang Baharu Kampung Tanjung Pisang Siap Lebih Awal
SIMUNJAN: Projek membina jalan ladang baharu di Kampung Tanjung Pisang telah siap lebih awal daripada jadual asal.
Ia merupakan projek Kerajaan Sarawak melalui Projek Infrastruktur Ladang, Jabatan Pertanian Sarawak yang menggunakan peruntukan daripada Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA).
Pelaksanaan projek tersebut adalah di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Samarahan dengan kos bernilai RM510,243.05.
Satu majlis penyerahan telah diadakan di antara pihak kontraktor yang bertanggungjawab kepada Ketua Kaum Kampung Tanjung Pisang, Bakeri Jamali dan disaksikan oleh Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Rafendy Ariffen serta Penolong Jurutera DID Bahagian Samarahan Nur Dianah Jamali.
Menurut Rafendy, pihak kontraktor telah berjaya melaksanakan projek jalan ladang tersebut yang sepatutnya siap pada bulan Ogos nanti.
"Terima kasih kepada pihak kontraktor kerana telah menyiapkan projek jalan ladang ini lebih awal daripada tarikh yang sebenarnya.
"Jalan ladang ini sangat penting untuk kegunaan penduduk di kampung-kampung bagi menjalankan aktiviti pertanian harian selain menjadi jalan utama untuk mendapatkan hasil tanaman untuk jualan," katanya.
Rafendy berkata demikian ketika ditemui media selesai sahaja sesi penyerahan projek siap pada Isnin.
Untuk rekod, projek tersebut telah bermula pada 27 Disember tahun lepas dan sepatutnya siap pada bulan Ogos kelak.
Skop projek mencakupi kerja-kerja pembinaan jalan kelikir (gravel road) sepanjang 850 meter dengan kelebaran 3.5 meter termasuk dengan pembinaan pembentung bersaiz 600 milimeter sebanyak lapan unit dan pembentung bersaiz 1200 milimeter sebanyak tiga unit. -EDISI UKAS