250 Pelajar Dari Petra Jaya Terima Kelengkapan Persekolahan Daripada TNB
KUCHING: Seramai 250 pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan Parlimen Petra Jaya menerima sumbangan kelengkapan persekolahan asas yang lengkap dan berkualiti menerusi Program Ceria Ke Sekolah anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, program berkenaan merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB yang telah dilaksanakan sejak 2013, khususnya di Semenanjung Malaysia, dan penganjurannya di Sarawak kali ini merupakan yang pertama.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjelaskan bahawa pemilihan Parlimen Petra Jaya sebagai lokasi program adalah bertepatan memandangkan TNB berada di bawah kementeriannya, walaupun fungsi utama syarikat itu tertumpu di Semenanjung Malaysia.
“TNB hanya terlibat dalam pembekalan dan penjanaan tenaga di Semenanjung Malaysia, manakala di Sabah dikendalikan oleh Sabah Energy serta Sarawak pula diuruskan oleh Sarawak Energy dan SESCO.
“Namun, penganjuran program ini membuktikan keprihatinan TNB untuk turut menyumbang kepada masyarakat di Sarawak, khususnya dalam membantu anak-anak pelajar membuat persiapan ke sekolah,” katanya semasa berucap dalam program penyerahan sumbangan tersebut di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Isnin.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu menambah, bantuan yang disalurkan merangkumi keperluan asas persekolahan seperti beg sekolah, alat tulis, pakaian dan kasut, sekali gus melengkapi pelbagai bantuan lain yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Beliau menjelaskan penglibatan syarikat korporat seperti TNB amat penting dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada mendapat pendidikan, di samping menyemai semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan agar lebih banyak syarikat korporat tampil melaksanakan program CSR seumpama ini demi kesejahteraan dan masa depan generasi muda.
Mengulas mengenai cadangan untuk memperluaskan pelaksanaan program ke kawasan lain di Sarawak, Datuk Amar Fadillah berkata perkara tersebut bergantung kepada pihak pengurusan TNB dan menyokong penuh sekiranya program berkenaan dapat diperluaskan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka.
“Saya memang menggalakkanlah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka.
“Walaupun tugas hakiki mereka menjaga Semenanjung Malaysia, tidak salah sekiranya mereka boleh perluaskan dimana-mana tempat lain di Sarawak, ia terserah dengan pentadbiran TNB,” ujar beliau.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Nur Nabilla & Naseem