LSS Gerakkan 115 Anggota, 15 Bot Perkukuh Keselamatan Sungai Sempena Aidilfitri & Cuti Sekolah
SIBU: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan menggerakkan 115 anggota bersama 15 bot bagi memperhebat pemantauan serta penguatkuasaan keselamatan pengangkutan sungai sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan cuti sekolah penggal pertama 2026.
Pengerusi LSS, Dr Safiee Ahmad berkata, langkah tersebut diambil berikutan jangkaan peningkatan penggunaan pengangkutan sungai ketika musim perayaan dan cuti persekolahan berbanding hari biasa.
“Dalam tempoh ini, ramai penduduk dijangka pulang ke kampung halaman dan menggunakan pengangkutan sungai, justeru pemantauan keselamatan akan dipertingkatkan,” katanya ketika ditemui selepas Kempen Keselamatan Sungai sempena Aidilfitri dan Cuti Persekolahan Penggal 1 Sesi 2026 di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara dua fasa, iaitu dari 18 hingga 20 Mac, manakala fasa kedua dijadualkan pada 27 hingga 29 Mac, menjelang pembukaan semula sesi persekolahan pada 30 Mac.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan penguatkuasaan tersebut bukan semata-mata bertujuan mengeluarkan kompaun, sebaliknya memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kesedaran serta pematuhan terhadap aspek keselamatan dalam kalangan pengusaha dan pengguna pengangkutan sungai.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengusaha bot agar tidak membawa penumpang melebihi had muatan yang dibenarkan, meskipun berdepan peningkatan permintaan sepanjang musim perayaan.
Menurutnya, sebagai langkah penyelesaian, pengusaha bot boleh memohon kepada LSS untuk menambah kekerapan perjalanan bagi menampung peningkatan jumlah penumpang berbanding mengambil risiko membawa muatan berlebihan.
Mengulas mengenai isu tambang, Dr Safiee menegaskan bahawa pengusaha bot tidak dibenarkan menaikkan kadar tambang sesuka hati, dan orang ramai boleh mengemukakan aduan kepada LSS sekiranya terdapat sebarang pelanggaran.
Katanya, pengusaha yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 34(2) Ordinan Sungai Sarawak 1993, yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam majlis tersebut, Dr Safiee turut menyampaikan jaket keselamatan serta fleet card petrol bersubsidi RON95 kepada pengusaha bot penumpang.
Turut hadir ialah Ahli Lembaga LSS merangkap ADUN Bukit Assek, Chieng Jin Ek, wakil Residen Bahagian Sibu, Nursyarmilla Jeruis, Pegawai Daerah Sibu, Tsong Chow Choon, Controller LSS, Leftenan Kolonel (B) Ding Tew Wong, Ketua Cawangan KPDN Sibu, Roslee Maslie mewakili Pengarah KPDN Sarawak serta Asst. Controller Wilayah II Sibu, Mohammad Fadzli Noh.-EDISI UKAS