Belia Bukit Kota Aktif Jayakan Program Komuniti dan Ekonomi Setempat
LIMBANG: Golongan belia di kawasan Bukit Kota terus memainkan peranan aktif dalam menjayakan pelbagai program kemasyarakatan serta menyokong pembangunan ekonomi setempat melalui penglibatan dalam aktiviti komuniti dan pertubuhan belia di daerah ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata penglibatan belia dalam organisasi seperti SABERKAS serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan mencerminkan komitmen mereka dalam menghidupkan pelbagai program kemasyarakatan sepanjang tahun.
Menurut beliau, golongan belia di kawasan tersebut turut aktif menyumbang dalam penganjuran pelbagai program komuniti termasuk aktiviti kebudayaan dan perayaan yang melibatkan masyarakat setempat.
“Kerajaan turut menyediakan beberapa premis perniagaan seperti Anjung Usahawan Pahlawan dan Anjung Usahawan Medamit bagi memberi peluang kepada usahawan tempatan mengembangkan perniagaan mereka.
“Selain itu, Anjung Usahawan Penapak yang kini sedang dalam pembinaan juga dijangka memberi lebih banyak ruang kepada usahawan tempatan untuk menjalankan aktiviti ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama belia dan komuniti Bukit Kota yang diadakan di sini pada Ahad.
Tambah beliau, penglibatan aktif golongan belia dalam pelbagai aktiviti komuniti bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat, malah turut membantu memeriahkan suasana bandar dengan pelbagai program bermanfaat.
Pada masa sama, beliau menggalakkan golongan belia untuk terus meneroka peluang dalam bidang ekonomi termasuk perusahaan kecil dan sederhana sebagai usaha meningkatkan taraf hidup serta memperkukuh ekonomi komuniti setempat.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur asas serta pembangunan sosioekonomi akan terus diberi perhatian bagi memastikan kesejahteraan masyarakat di kawasan tersebut terus dipertingkatkan.-EDISI UKAS