Perkasa Peranan Masjid Sebagai Pusat Pembangunan Ummah
KUCHING: Peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah terus diperkasakan menerusi pelaksanaan pelbagai program sepanjang bulan Ramadan di Kampung Buntal, sekali gus menarik penyertaan aktif masyarakat setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, program seperti ziarah Ramadan, tadarus Al-Quran, khatam Al-Quran serta aktiviti kebajikan mampu mengeratkan silaturahim dan meningkatkan penghayatan ibadah dalam kalangan penduduk.
Menurut beliau, kerjasama berterusan antara jawatankuasa masjid, pemimpin komuniti serta agensi berkaitan amat penting bagi memastikan institusi masjid terus berfungsi sebagai pusat perpaduan dan pembangunan sosial masyarakat.
“Masjid bukan sahaja tempat menunaikan ibadah, malah menjadi ruang untuk masyarakat berkumpul, berkongsi ilmu serta memperkukuh nilai kebersamaan. Aktiviti sepanjang Ramadan juga perlu dimanfaatkan bagi menarik lebih ramai golongan muda mendekati masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Ziarah Mahabbah Ramadan yang diadakan di Masjid Darul Muttaqin, Kampung Buntal pada Isnin.
Dalam program tersebut, seramai 150 penerima turut menerima sumbangan sebagai usaha membantu golongan memerlukan sempena Ramadan.
Pada masa sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kemudahan pendingin Udara mudah alih kepada pihak masjid bagi meningkatkan keselesaan jemaah serta menyokong penganjuran aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.-EDISI UKAS