PERKIM Lawas Teruskan Tradisi Ziarah Kasih di Hospital Lawas
LAWAS: PERKIM Daerah Lawas meneruskan tradisi menyantuni masyarakat dengan mengadakan program Ziarah Kasih di Hospital Lawas pada Ahad.
Pengerusi PERKIM Daerah Lawas, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud bersama rombongan meluangkan masa menziarahi pesakit yang sedang menerima rawatan di wad hospital.
Dalam kunjungan itu, para pesakit turut menerima sumbangan berupa wang tunai serta makanan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral.
Inisiatif ini merupakan amalan yang sering dilaksanakan oleh PERKIM Lawas khususnya menjelang musim perayaan, bagi menceriakan pesakit yang tidak dapat pulang menyambut hari istimewa bersama keluarga.
Program tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan PERKIM Lawas dalam melaksanakan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, khususnya dalam mendekati golongan yang memerlukan perhatian serta sokongan moral kepada mereka yang sedang menjalani rawatan.
Melalui program seumpama ini, PERKIM Lawas berharap dapat meringankan beban pesakit serta memberi sedikit kegembiraan dan semangat kepada mereka yang sedang diuji dengan kesihatan.-EDISI UKAS