Pembekalan Tenaga Elektrik Sarawak Ke Semenanjung Masih Di Peringkat Dasar, Kajian Teknikal Diperlukan
KUCHING: Perancangan Sarawak untuk membekalkan tenaga elektrik ke Semenanjung Malaysia masih berada di peringkat dasar walaupun kelulusan secara prinsip telah diperoleh.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, tumpuan ketika ini adalah terhadap aspek teknikal yang merangkumi kajian kebolehlaksanaan serta kerja-kerja tinjauan awal, termasuk yang melibatkan negara Indonesia.
“Dari segi dasar, kelulusan prinsip telah diperoleh, namun pada peringkat teknikal, kajian perlu dilaksanakan terlebih dahulu termasuk kerja-kerja survei yang melibatkan Indonesia sebelum kajian kebolehlaksanaan dapat dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ceria Ke Sekolah anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Isnin.
Datuk Amar Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengulas lanjut, projek berkenaan bukan sahaja melibatkan TNB, malah turut membabitkan beberapa pihak berkepentingan lain termasuk Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) serta Sarawak Energy.
Jelasnya, kadar tarif pembekalan tenaga masih belum dapat ditentukan memandangkan kajian terperinci perlu dijalankan bagi mengenal pasti kos keseluruhan projek sebelum rundingan tarif dilakukan.
Datuk Amar Fadillah turut memaklumkan bahawa kajian berkenaan masih belum dimulakan kerana Sarawak perlu memaklumkan dan mendapatkan persetujuan Indonesia terlebih dahulu sebelum sebarang kerja teknikal dijalankan.
Dalam pada itu, beliau menyatakan harapan agar proses awal projek berkenaan dapat dimulakan pada tahun hadapan, namun pelaksanaannya amat bergantung kepada perkembangan rundingan dan kelulusan yang melibatkan Indonesia.-EDISI UKAS