38 Pelajar Cemerlang RRSS Terima Insentif Pendidikan
MIRI: Seramai 38 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 Sekolah Menengah Riam Road (RRSS) menerima insentif kecemerlangan akademik pada Majlis Penyampaian Anugerah Insentif SPM dan A-Level yang berlangsung di Dewan Shin Yang, Sekolah Menengah Riam Road, di sini pada Ahad.
Majlis berkenaan melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM16,500 sebagai sokongan dan galakan terhadap usaha pelajar mencapai kecemerlangan akademik.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memperkasa ekosistem pendidikan serta melahirkan modal insan berdaya saing sejajar dengan keperluan masa hadapan.
Berdasarkan pencapaian akademik, lapan pelajar memperoleh 5A, lapan pelajar 6A, lapan pelajar 7A, tiga pelajar 8A, enam pelajar 9A, empat pelajar 10A manakala seorang pelajar mencatatkan pencapaian cemerlang dengan 11A, sekali gus mencerminkan prestasi akademik yang membanggakan.
Selain itu, dua pelajar prauniversiti peringkat A-Level dari RRSS TVET yang memperoleh CGPA 4.00 turut menerima insentif sebagai penghargaan atas kecemerlangan akademik mereka.
Majlis tersebut diakhiri dengan penyampaian insentif kepada para pelajar cemerlang, sekali gus mencerminkan usaha berterusan RRSS dalam melahirkan generasi berilmu dan berkualiti demi pembangunan Sarawak.-EDISI UKAS