Kampung Limpaku Pinang Berpotensi Jadi Hab Sukan Air
LIMBANG: Kampung Limpaku Pinang berpotensi dibangunkan sebagai lokasi sukan air dan pelancongan baharu di utara Sarawak berikutan kedudukannya yang strategik di muara Sungai Limbang menghadap Teluk Brunei.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sambutan menggalakkan terhadap penganjuran Pesta Bot Laju yang disertai peserta dari Brunei Darussalam, Labuan dan Lawas membuktikan potensi besar kampung berkenaan sebagai produk pelancongan berasaskan komuniti.
Menurut beliau, terdapat perancangan untuk menjalin kerjasama rentas sempadan melibatkan Brunei Darussalam, Sabah dan Labuan bagi merealisasikan Pesta Teluk Brunei sebagai acara pelancongan berskala besar di utara Sarawak.
“Usaha yang dimulakan oleh komuniti setempat ini wajar diperkasakan dan diperluaskan melalui penganjuran pelbagai aktiviti sukan air yang lebih berimpak,” katanya ketika merasmikan pesta berkenaan di sini pada Ahad.
Beliau menegaskan Kerajaan Sarawak kekal komited memperkasa pembangunan pelancongan berasaskan komuniti yang berupaya menjana ekonomi setempat secara mampan.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM15,000 sebagai sokongan kepada penganjuran program tersebut.-EDISI UKAS