TVET Pacu Pembangunan Modal Insan, Sokong Aspirasi PCDS 2030
KUCHING: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menjadi tunjang utama pembangunan modal insan Sarawak dalam menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, WorldSkills Malaysia Sarawak (WSM–Sarawak) berperanan sebagai platform strategik mempercepat pembangunan bakat tempatan berkemahiran tinggi.
Menurutnya, Sarawak kini berada di ambang transformasi ekonomi yang menuntut tenaga kerja tempatan bukan sahaja mahir dari segi teknikal, malah berpengetahuan dalam teknologi baharu serta mampu menyesuaikan diri dengan keperluan industri masa hadapan.
“Sarawak sedang mengharungi perubahan pesat yang didorong oleh kecerdasan buatan, teknologi hijau dan ekonomi digital. Justeru, pembangunan modal insan berkualiti tinggi menjadi penentu utama kejayaan kita mencapai aspirasi PCDS 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa Majlis Anugerah Tangan Emas Premier Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak, pada Isnin.
Sementara itu, beliau menambah, Kerajaan Sarawak meletakkan TVET sebagai enjin utama pembangunan bakat negeri melalui pelaburan berterusan dalam menaik taraf kemudahan latihan, meningkatkan kualiti pengajaran serta memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak industri.
Mengulas peranan WorldSkills Malaysia Sarawak, Datuk Francis Harden berkata platform tersebut berfungsi sebagai pemecut bakat yang berkesan dalam mengenal pasti dan membangunkan bakat muda sejak peringkat awal.
Tambah beliau, pendedahan kepada piawaian kemahiran bertaraf dunia, latihan berstruktur dan bimbingan pakar membantu merapatkan jurang antara teori pendidikan dan keperluan sebenar industri.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan kebanggaan terhadap pencapaian anak Sarawak yang berjaya meraih pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa melalui pertandingan WorldSkills.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa TVET adalah pilihan pendidikan yang tepat, berkualiti dan mampu melahirkan bakat bertaraf dunia,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta dalam menjayakan agenda bakat Sarawak, khususnya melalui program seperti Academy in Industry (ADI).
Majlis Anugerah Tangan Emas Premier Sarawak 2025 turut menyaksikan pengiktirafan kepada peserta serta agensi yang cemerlang dalam WorldSkills Malaysia Sarawak Edisi Ke-4 2025, sekali gus memperkukuh komitmen bersama dalam melahirkan tenaga kerja mahir selari dengan aspirasi Sarawak sebagai wilayah makmur dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB Malaysia) merangkap Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datu Adana Jed serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS