Liew Jew Sheng Dinobat Penerima Anugerah Tangan Emas Premier Sarawak 2025
KUCHING: Kejayaan Liew Jew Sheng merangkul Anugerah Tangan Emas Premier Sarawak 2025 membuktikan keupayaan serta potensi anak muda Sarawak dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya dalam teknologi berimpak tinggi Additive Manufacturing.
Pelajar Kolej Vokasional Betong itu berkata, penglibatan belia dalam bidang TVET amat penting bagi menyokong agenda pembangunan negeri serta memastikan Sarawak terus melangkah ke hadapan sebagai negeri yang maju, berdaya saing dan berteraskan teknologi masa hadapan.
“Saya mengajak rakan-rakan untuk menyertai bidang TVET ini di Sarawak supaya negeri kita dapat menuju ke arah yang lebih maju,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas Majlis Anugerah Tangan Emas Premier Sarawak 2025 pada Isnin.
Mengulas perancangan selepas kejayaan tersebut, beliau berkata fokus utamanya kini adalah menjalani latihan berterusan sebagai persediaan mewakili Sarawak ke WorldSkills Malaysia di Kuala Lumpur.
Menurutnya, persiapan rapi amat penting bagi memastikan penyertaan di peringkat kebangsaan memberi impak yang positif.
Dalam pada itu, Liew Jew Sheng mengakui amat terharu dan gembira dengan pencapaian yang diraih, memandangkan kejayaan tersebut tidak pernah dijangkakan.
“Saya sangat gembira kerana tidak menyangka dapat meraih Tangan Emas ini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para guru, jurulatih dan rakan-rakan yang banyak memberi sokongan sepanjang persiapan menghadapi pertandingan.
Menyentuh latar belakang keluarga, beliau berkata bapanya bekerja dalam bidang automotif di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Jelukong yang menjadi antara sumber inspirasi kepada minat beliau dalam bidang kemahiran teknikal.
“Pekerjaan bapa saya adalah dalam bengkel automotif, lebih kepada kerja-kerja pembaikan kenderaan di Jelukong,” jelasnya.-EDISI UKAS