Semangat Sepasukan Teras Kejayaan Perkhidmatan Awam Sarawak
KUCHING: Kejayaan penganjuran majlis berskala besar dalam Perkhidmatan Awam Sarawak membuktikan bahawa semangat kerjasama sebagai satu pasukan merupakan kekuatan utama yang terus menjadi tunjang kecemerlangan pentadbiran negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, kejayaan tersebut tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa komitmen padu serta kerjasama erat semua pihak, sama ada di peringkat kepimpinan, teknikal mahupun pelaksana.
“Majlis besar seperti ini hanya dapat dianjurkan apabila kita bekerjasama sebagai satu pasukan.
“Apa yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat membuktikan bahawa dalam apa jua keadaan, Perkhidmatan Awam Sarawak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan jayanya,” katanya ketika berucap semasa Majlis Apresiasi Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2025 di sini pada Isnin.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar juga menzahirkan penghargaan kepada semua jawatankuasa dan petugas yang terlibat, termasuk jawatankuasa teknikal, keselamatan, persembahan, makanan dan sambutan, yang telah bekerja keras bagi memastikan kelancaran penganjuran majlis berkenaan.
Menurutnya, semangat kerjasama antara perkhidmatan awam di peringkat negeri dan Persekutuan merupakan kekuatan unik Sarawak yang turut mendapat pengiktirafan pihak luar.
“Inilah kekuatan kita di Sarawak. Sama ada di peringkat negeri atau persekutuan, kita bekerja bersama tanpa mengira di mana kita melapor. Semangat sehati sejiwa inilah yang membezakan kita,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan tahap prestasi Perkhidmatan Awam Sarawak berada pada tahap yang amat tinggi, berdasarkan penilaian anugerah yang menunjukkan perbezaan markah yang amat rapat antara para pemenang.
Dalam pada itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut merakamkan penghargaan kepada anggota perkhidmatan awam yang bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman yang sanggup berkorban meninggalkan keluarga serta mengharungi pelbagai cabaran demi memastikan perkhidmatan terbaik disampaikan kepada rakyat.
“Mereka inilah wira sebenar perkhidmatan awam, bekerja di belakang tabir bukan untuk populariti, tetapi demi tanggungjawab kepada rakyat,” jelasnya.
Mengakhiri ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan Sarawak atas pengiktirafan terhadap sumbangan perkhidmatan awam negeri ini, termasuk pemberian Bantuan Khas Kewangan bagi memperkasa lagi mutu perkhidmatan kepada rakyat.
Hadir sama, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta Ketua-ketua Jabatan.-EDISI UKAS