Pendidikan Holistik Asas Lahirkan Generasi Berdaya Saing
BINTULU: Pendekatan pendidikan holistik yang menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik, penglibatan kokurikulum dan pembentukan sahsiah murid terus menjadi asas penting dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing serta berakhlak mulia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, kejayaan sebenar dalam pendidikan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui pencapaian akademik, sebaliknya perlu merangkumi nilai murni, disiplin serta keupayaan murid untuk terus menimba ilmu sepanjang hayat.
Menurut beliau, pengiktirafan terhadap pencapaian murid bukan sahaja mampu meningkatkan motivasi, malah menggalakkan persaingan sihat yang membina keyakinan diri serta potensi kepimpinan sejak usia muda.
“Budaya kecemerlangan dalam pendidikan perlu dipupuk secara konsisten supaya murid bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sijil dan Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) St. Anthony di sini pada Isnin.
Johnny Pang turut merakamkan penghargaan kepada para guru atas dedikasi dan komitmen berterusan dalam mempertingkatkan kualiti pendidikan, selain mengiktiraf peranan penting ibu bapa dan penjaga sebagai rakan strategik sekolah dalam membentuk kecemerlangan murid.
Pada masa sama, beliau menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian cemerlang sekolah dalam penilaian Program Dwi Bahasa (DLP) 2025 yang menyaksikan lima orang murid memperoleh skor 3A bagi subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Johnny Pang juga berharap institusi pendidikan terus berperanan sebagai wadah membentuk generasi seimbang dari segi intelek, sahsiah dan kemahiran, sekali gus menjadi aset berharga kepada pembangunan negeri dan negara.-EDISI UKAS