Solidariti Rentas Agama Perkukuh Bantuan Bencana Di Limbang
LIMBANG: Semangat solidariti rentas agama terus diperkukuh apabila seramai 117 ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir tahun lalu menerima bantuan barangan makanan harian.
Bantuan tersebut merupakan inisiatif Caritas, badan kebajikan Gereja Katolik yang menyantuni golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang agama, sekali gus mencerminkan nilai kemanusiaan dan kebersamaan masyarakat setempat dalam menghadapi cabaran pascabencana.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang bersama isteri, Datin Mary Sindang dalam satu majlis penyerahan di Gereja St John Liuk Batu pada Ahad.
Pemilihan penerima bantuan dibuat berdasarkan laporan ketua-ketua gereja dan Ketua Kampung di kawasan terlibat sekitar Limbang bagi memastikan bantuan disalurkan secara menyeluruh dan tepat kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus berganding bahu dalam memperkukuh jaringan kerjasama komuniti bagi membantu mangsa bencana.-EDISI UKAS