TPM Rasmi Pejabat Baharu GJPBS, Perkukuh Peranan Jurutera Perunding Bumiputera
KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof merasmikan pembukaan Pejabat Gabungan Jurutera Perunding Bumiputera Sarawak (GJPBS) di sini pada Selasa.
Menurutnya, perasmian pejabat itu menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuhkan peranan jurutera perunding bumiputera dalam pembangunan infrastruktur negeri.
Beliau juga menyatakan sokongan padu terhadap usaha GJPBS bukan sahaja dalam menyediakan rangka kerja profesional dan peluang perkhidmatan kepada ahli-ahlinya, tetapi juga dalam pembinaan dan pembangunan modal insan tempatan.
Majlis tersebut turut disertai oleh Pengerusi GJPBS, Ir. Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie yang bersama ahli jawatankuasa lain mengiringi Datuk Amar Fadillah pada majlis perasmian pejabat berkenaan.
GJPBS merupakan pertubuhan yang menggabungkan firma-firma perunding jurutera bumiputera dari pelbagai disiplin termasuk kejuruteraan awam, mekanikal dan lain-lain.
Gabungan ini telah berkembang dan aktif menerajui projek serta perkhidmatan profesional terhadap keperluan pembangunan negeri Sarawak.
Sementara itu, Ahli Parlimen Petra Jaya berkenaan turut menzahirkan sokongan terhadap perancangan pembinaan Pusat Latihan Kecemerlangan Jurutera Perunding yang bakal dibina di Samarahan.
Projek pembinaan Pusat Latihan Kecemerlangan tersebut kini berada pada fasa mengenal pasti tapak yang sesuai di Samarahan, dengan anggaran pembinaan dijangka bermula awal tahun 2026 selepas proses kelulusan dan reka bentuk dipenuhi.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Douglas Demong