Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 Jadi Landasan Strategik Kemakmuran Masa Depan
KUCHING: Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 muncul sebagai platform strategik utama dalam merangka hala tuju kemakmuran jangka panjang negeri ini apabila menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri, ahli akademik dan pemain media bagi membincangkan penyelarasan Belanjawan Madani Malaysia 2026 dan Belanjawan Sarawak 2026 secara menyeluruh dan bersepadu.
Pengasas dan Rakan Kongsi Pengurusan Kumpulan Salihin, Dato’ (Dr.) Salihin Abang berkata, kejayaan pelaksanaan belanjawan bukan sekadar bergantung kepada dasar yang digubal, sebaliknya memerlukan komitmen dan penglibatan kolektif semua pihak merangkumi kerajaan, sektor swasta, akademia serta masyarakat.
"Dari Kuching hingga ke Lawas, tiada belanjawan yang mampu membina kemakmuran secara bersendirian ia memerlukan penglibatan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Forum sempena Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 di sini pada Selasa.
Sementara itu, beliau menambah, Belanjawan Madani Malaysia 2026 yang memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup, kesihatan, pendidikan serta transformasi digital mencerminkan pendekatan inklusif Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat, di samping memperlihatkan komitmen Malaysia terhadap agenda sifar bersih melalui pengenalan cukai karbon.
Pendekatan itu jelasnya, selari dengan aspirasi pembangunan hijau Sarawak yang menekankan kelestarian alam sekitar sebagai teras pertumbuhan ekonomi masa hadapan.
Di peringkat negeri pula katanya, Belanjawan Sarawak 2026 disifatkan membawa pendekatan berani dan berteraskan rakyat, antaranya melalui pelaksanaan skim pendidikan tinggi percuma dengan peruntukan RM250 juta yang dijangka memperluas akses pendidikan kepada ribuan keluarga di seluruh Sarawak.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut meneruskan pelaburan strategik dalam sektor hidrogen, pembangunan infrastruktur digital serta usaha memperkukuh ketersambungan luar bandar sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan inklusif.
Dalam pada itu, Dato’ Dr. Salihin turut menekankan prestasi ekonomi Sarawak yang semakin kukuh apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri mencecah RM148 bilion pada 2024, menyumbang kira-kira sembilan peratus kepada KDNK negara hasil pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 secara konsisten dan berfokus.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira
Foto: Alezxandria Kapple