Gangguan Sistem Saliran Dikenal Pasti Punca Banjir Berulang Di Laluan Pintasan Miri
MIRI: Gangguan sistem saliran dikenal pasti sebagai punca utama kejadian banjir yang berulang di sepanjang Laluan Pintasan Miri, susulan pembuangan sampah secara haram serta pembinaan lintasan tidak sah yang menghalang kelancaran aliran air hujan.
Isu tersebut dikenal pasti susulan lawatan tinjauan ke kawasan terjejas yang menjejaskan penduduk kampung berhampiran serta pengguna jalan raya, khususnya di Kampung Pujut Padang Kerbau dan beberapa kawasan perumahan di sepanjang laluan berkenaan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pemeriksaan di tapak mendapati saliran utama air hujan di tepi jalan mengalami gangguan aliran yang serius akibat timbunan sampah, pertumbuhan tumbuhan liar tidak terkawal serta pembinaan lintasan haram menggunakan pembetung bersaiz kecil dan tidak mencukupi.
Menurut beliau, keadaan tersebut menyebabkan kapasiti saliran berkurangan dan tidak mampu menampung jumlah air hujan, sekali gus mengakibatkan kejadian banjir berulang terutamanya ketika hujan lebat.
“Semua air dari kawasan perumahan dan kampung berhampiran mengalir ke saliran utama ini. Apabila aliran terganggu akibat sumbatan dan lintasan tidak sah, banjir tidak dapat dielakkan,” katanya ketika ditemui semasa lawatan tapak di Jalan Pintas Miri pada Isnin.
Beliau turut dimaklumkan bahawa terdapat beberapa lintasan haram lain di sepanjang jajaran saliran utama tersebut yang dibina tanpa kelulusan, selain keadaan parit tanah yang telah menyerupai aliran semula jadi dan ditumbuhi tumbuhan liar secara berlebihan, sekali gus menjejaskan kelancaran aliran air.
Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk meneliti keseluruhan jajaran saliran utama air hujan di kawasan terbabit, termasuk sebahagian laluan Pan Borneo, serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang lintasan haram yang menghalang aliran air.
Mengulas langkah jangka panjang, beliau berkata sebarang cadangan menaik taraf sistem saliran, termasuk penambahbaikan reka bentuk atau pembinaan semula, perlu dikaji secara terperinci oleh JKR memandangkan laluan Pan Borneo berada di bawah pembiayaan Kerajaan Persekutuan dan memerlukan perbincangan lanjut dengan Kerajaan Pusat.
Turut hadir semasa lawatan tinjauan tersebut ialah Penolong Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri, Chai Chung Enn dan Ar. Jeffery Phang.-EDISI UKAS