Perjanjian Komersial PETROS-PETRONAS Bakal Ditentukan Tahun Depan
KUCHING: Perjanjian komersial antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bakal ditentukan pada awal tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, pertukaran dokumen antara kedua-dua syarikat minyak dan gas tersebut telah dilaksanakan dan hanya menunggu untuk memberikan kata putus.
"Kalau tiada persetujuan dicapai antara kedua-duanya, hujung-hujungnya memang akan terpaksa untuk diselesaikan melalui mahkamah maka kita harap ada persetujuan," katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi forum sempena Persidangan Bajet Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.
Sementara itu, beliau menambah, perbincangan masih dijalankan memandangkan pertukaran surat-menyurat sudah dijalankan antara PETROS dan PETRONAS.
Terdahulu dalam sesi forum tersebut, Datuk Amar Fadillah Yusof memberitahu, perjanjian komersial telah dijalankan setelah dipersetujui oleh Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Jelas beliau, ini bagi mengelakkan proses penyelesaian yang panjang serta kompleks sekiranya ia dibawa kepada tafsiran undang-undang dan prosiding mahkamah.
"Pada akhirnya, ia mungkin bukan penyelesaian menang-menang malah boleh menjadi situasi rugi kepada semua pihak.
"Sebab itulah kita bersetuju supaya PETROS dan PETRONAS duduk semeja, meneliti semua bidang yang boleh mereka bekerjasama.
"Akhirnya, ia akan memberi manfaat bukan sahaja kepada negara tetapi juga kepada komuniti perniagaan, jadi pendekatan menang-menang inilah yang telah kita persetujui," ujarnya.
Bersama beliau dalam sesi forum tersebut, Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Alezxandria Kapple