Program Jahitan Kain Burik Perkasa Warisan & Ekonomi Komuniti Iban Di Simunjan
SIMUNJAN: Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee meluangkan masa menghadiri Program Kraftangan Jahitan Kain Burik yang berlangsung di Dewan Kampung Batu Mumong di sini pada Selasa.
Menurut beliau, penganjuran program seumpama ini merupakan satu usaha penting dalam memelihara warisan budaya tradisional di samping memperkasa ekonomi komuniti setempat.
"Program ini disifatkan sebagai platform yang berkesan untuk memperkenalkan keunikan corak serta teknik jahitan skirt burik, selain memupuk minat dan kemahiran dalam kalangan peserta.
“Peserta berpeluang mempelajari keunikan jahitan corak skirt burik yang merupakan identiti masyarakat kaum Iban. Ilmu yang dipelajari diharapkan dapat dikembangkan dan dimanfaatkan dalam jangka panjang,” katanya.
Rodiyah turut menyatakan sokongan penuh terhadap perancangan Pengerusi Kraftangan Skirt Burik, Poni Ensudin, untuk menganjurkan kursus lanjutan seperti pembuatan selampai dan tangu pada masa hadapan.
Menurut beliau, hasil kraftangan yang dihasilkan mempunyai potensi besar untuk dipasarkan sekiranya menerima tempahan, sekali gus mampu menjana pendapatan serta dimasukkan ke dalam tabung persatuan bagi membantu meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan.
Beliau juga berharap agar program seumpama ini bukan sahaja menjadi medium pembelajaran kemahiran, malah berperanan mengeratkan silaturahim serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan penduduk Kampung Pentek, Kampung Batu Mumong dan Kampung Melanjok.
Program selama dua hari itu telah dianjurkan pada 15 hingga 16 Disember 2025 dengan penyertaan seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada penduduk tiga buah kampung iaitu Kampung Pentek, Kampung Batu Mumong dan Kampung Melanjok.
Inisiatif berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan persaudaraan dalam kalangan komuniti melalui aktiviti kraftangan tradisional, khususnya jahitan skirt burik yang menjadi identiti masyarakat kaum Iban.-EDISI UKAS