BINTULU: Seramai 109 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Bintulu menerima pengiktirafan menerusi pelbagai kategori anugerah tajaan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato’ Ruslan Abdul Ghani berkata, penganjuran majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan Bintulu Port dalam menyokong usaha memperkasa pendidikan serta melahirkan generasi pelajar yang berdaya saing dan berkualiti.
Menurutnya, pengiktirafan berkenaan dirangka bagi menilai kecemerlangan pelajar secara holistik, bukan sahaja berfokus kepada pencapaian akademik, malah merangkumi penglibatan aktif dalam kokurikulum serta nilai kepimpinan dan sahsiah diri.
“Majlis ini diwujudkan sebagai platform menghargai murid yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam tiga elemen utama iaitu akademik, kokurikulum dan sahsiah.
“Pendekatan ini selari dengan matlamat melahirkan insan holistik yang berilmu, berakhlak mulia serta berupaya menjadi pemimpin masa hadapan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pengurus Besar Group Stakeholder Relations BPHB, Maslihah Tioh semasa Majlis Apresiasi Bintulu Port Murid Cemerlang SeBARU 2025 pada Selasa.
Majlis tersebut menyaksikan penyampaian beberapa kategori anugerah utama termasuk Anugerah Khas Skim Galakan Bintulu Port, Anugerah Khas Utama Bintulu Port 2025, Anugerah Tokoh Kokurikulum dan Badan Beruniform, Anugerah Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 serta Anugerah Peperiksaan Antarabangsa Bahasa Perancis (DELF).-EDISI UKAS