Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar dan Apresiasi SK Sok Matu Dirai Meriah
MATU: Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar dan Apresiasi SK Sok Matu telah berlangsung dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sok Matu pada Selasa.
Ini sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik serta sumbangan warga pendidik sekolah berkenaan.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, yang turut merasmikan penamaan semula Dewan Terbuka SK Sok kepada Dewan Sri Jiwa Panglima.
Dalam ucapannya, Ahmad Johnie menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada para pelajar yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, sambil menegaskan bahawa kejayaan akademik perlu bergerak seiring dengan pembentukan sahsiah, disiplin serta penghayatan nilai-nilai murni.
"Tahniah kepada pihak Pengurusan Sekolah SK Sok, PIBG SK Sok, Matu serta seluruh warga sekolah atas komitmen berterusan dalam memperkasa pendidikan," katanya.
Beliau turut mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada Guru Besar SK Sok yang akan berpindah atas jasa dan bakti memimpin warga sekolah.
Majlis turut meraikan Tokoh Kecemerlangan Pelajar sebagai inspirasi kepada murid lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan. -EDISI UKAS