Geran Khas MRP Perkukuh Pembangunan Pendidikan SK Bandar Bintangor
BINTANGOR: Sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan di peringkat sekolah terus diperkukuh apabila Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor menerima geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM3,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan sekolah pada tahun 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan wakil rakyat dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta pembangunan murid yang menyeluruh.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan dan Graduasi SK Bandar Bintangor sesi 2025/2026 yang berlangsung di sini, pada Rabu.
Menurut Datuk Ding, majlis tersebut bukan sekadar meraikan penerima anugerah, malah menjadi platform menyuntik motivasi kepada semua murid agar terus berusaha, yakin pada potensi diri dan menjadikan kejayaan rakan sebagai dorongan.
Beliau turut menegaskan kejayaan murid lahir daripada kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa yang diibaratkan sebagai dua sayap yang mengangkat anak-anak ke puncak kecemerlangan.
Katanya, penyampaian anugerah merangkumi akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan membuktikan komitmen sekolah dalam melahirkan murid seimbang dan berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada murid Pra Sekolah, Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Tahun 6 atas kejayaan menamatkan satu fasa penting pendidikan sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga sekolah, ibu bapa dan komuniti atas kejayaan menjayakan majlis yang tersusun dan bermakna.-EDISI UKAS