196 Murid Tahun Enam Di Meradong Terima Bantuan Pakaian Sekolah
MERADONG: Seramai 196 orang murid Tahun Enam di sekitar kawasan Meradong menerima Bantuan Pakaian Seragam dan Kasut Sekolah Tahun 2026 dalam satu majlis penyerahan yang diadakan pada Rabu, sebagai persediaan mereka melangkah ke alam sekolah menengah pada tahun hadapan.
Bantuan tersebut merupakan sumbangan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii yang bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa selain memastikan murid-murid dapat memulakan fasa pendidikan seterusnya dengan lebih bersedia dan yakin.
Penyerahan bantuan dilaksanakan melalui lawatan Pasukan Pusat Khidmat Wakil Rakyat ke sekolah-sekolah terlibat, melibatkan murid Tahun Enam yang bakal memasuki kelas peralihan dan Tingkatan Satu pada sesi persekolahan 2026.
Antara sekolah yang terlibat ialah SK Abang Amin, SJKC Kai Chung, SK Bandar Bintangor, SJKC Ming Tee, SK Gemuan, SJKC Ming Lu, SJKC Ming Ching, SJKC Min Daik, SK Nanga Stras, SK Sungai Mador, SK Ulu Binatang, SK Ulu Stras, SK Bukit Nibong, SK Ulu Meradong dan SJKC Nan Chiew.
Menurut Dato’ Sri Huang, bantuan pakaian seragam dan kasut sekolah itu diharap dapat memberi sokongan moral kepada murid-murid yang bakal melangkah ke peringkat pendidikan menengah, sekali gus mengurangkan kebimbangan ibu bapa terhadap kos persediaan awal persekolahan.
“Saya telah menyalurkan bantuan seperti ini sejak tahun 2019 bagi membantu pelajar di kawasan Repok, khususnya dalam menyediakan keperluan asas persekolahan seperti pakaian seragam dan kasut sekolah,” katanya.
Beliau menambah, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan beliau dalam menjaga kebajikan pelajar di kawasan Parlimen Sarikei, di samping memberi motivasi kepada murid untuk memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih selesa dan bersemangat.
Beliau turut berharap agar bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya serta menjadi pemangkin kepada murid-murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik pada peringkat pendidikan seterusnya.-EDISI UKAS